Tuesday, May 7, 2013

Petua cinta suami isteri

baca Berita Harian hari ini, terasa nak berkongsi.. antara isinya..

Petua cinta suami isteri 

Mengekalkan hubungan cinta dalam rumah tangga tidak semudah mendirikannya. Saban tahun, ribuan pasangan mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing, lantaran tiada kesefahaman dalam melayari bahtera perkahwinan. 

Mengapa hal ini perlu terjadi? Sedangkan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta seharusnya dapat dilalui dengan bahagia sehingga ke akhir hayat.

Banyak petua dan kaedah dalam menjaga hubungan. Ramai percaya membina pemikiran positif dapat mempengaruhi seseorang untuk membentuk sikap positif dalam diri. 

Memetik tulisan Pakar Cinta dalam artikel bertajuk, Tips Menjaga Rumah Tangga dan Perkahwinan, lima panduan dititipkan untuk dijadikan panduan.

1. Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak. 

Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakan manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. 

Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.” 

Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu. Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Justeru, penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggungjawab. 

2. Sering berdamping dengan orang yang positif. 

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah SAW menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya. 

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. 

3. Jadikan sekarang masa paling gembira. 

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “Bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” 

Dengan berkata demikian, kita ‘membunuh’ potensi hari ini. 

4. Cari jalan untuk mengatasi tekanan. 

Tekanan akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu, suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. 

Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. 

5. Jangan terlalu serius. 

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalani kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur.




No comments:

Post a Comment